MAHU CAT RUMAH? BACA INI DULU!

Setiap kali menonton rancangan berkonsepkan ‘house makeover’, fikiran kita mula berimaginasi imej baru untuk segenap ruang kediaman. Mana tidaknya, ada yang sampai bertahun tak pernah tukar kedudukan perabot, langsir dan warna cat dinding atau cat rumah. Tambah rasa teruja, melihatkan si pereka dalaman bijak mengadun pelbagai warna sehingga dinding yang suram pudar tampak berseri.

Kerja mengecat rumah memang kelihatan mudah. Ada batang berus cat, beberapa tin cat warna pilihan dan roller, kerja terus ‘jalan’. Tetapi benarkan ia semudah yang disangka?

 

Jangan ambil jalan singkat! Di sini kami senaraikan beberapa tips penting yang perlu anda tahu sebelum mengecat rumah.

1. Pastikan Lapisan Dinding Rumah Rata dan Bersih

Sebelum memulakan sebarang kerja mengecat, penting untuk anda pastikan lapisan dinding itu bersih dari sebarang kotoran, habuk, sawang lelabah dan najis cicak. Untuk membersihkannya, gunakan kain basah atau surat khabar lama. Jangan lupa kikis sebarang bonggolan di permukaan dinding kesan daripada cat yang lama dengan menggunakan scrapper. Sekiranya dinding anda berlubang kerana pernah dipaku untuk menggantungkan bingkai gambar atau perhiasan rumah, eloklah tutup lubang berkenaan dengan filter.

 

Untuk mendapatkan kesan rata dan bersih pada dinding, anda boleh menggunakan filler yang ada dijual di kedai hardware dengan harga semurah RM8.

2. Sediakan Peralatan Mengecat Mencukupi

Malu bertanya, sesat jalan. Jangan sesekali buat pandai jika ini kali pertama anda mahu mengecat rumah. Pergi sahaja ke kedai hardware dan bertanyalah kepada penjual tentang peralatan yang perlu digunakan supaya kerja-kerja anda kelak berjalan lancar.

Hasil yang sempurna datangnya daripada perlatan yang mencukupi. Berikut adalah senarai peralatan mengecat rumah yang anda perlu ada;

  • Cat
  • Bekas cat
  • Berus
  • Roller
  • Surat khabar lama atau terpakai
  • Kain untuk mengelap

 

3. Guna Sealer Cat

Supaya cat tahan lebih lama, adalah digalakkan untuk menggunakan cat sealer selepas anda membersihkan dinding. Untuk nampak lebih kemas, anda perlu mengecat sealer bermula dari hujung dinding, kemudian gunakan berus pada peringkat awal di bahagian tepi dinding. Peranan roller pula digunakan di bahagian tengah dinding. Cara ini lebih cepat dan praktikal.

 

Sealer cat membantu melindungi lapisan sebelum cat utama disapukan, bertindak melekatkan cat utama pada dinding, mengelakkan cat mudah luntur dan memastikan ia tahan lama apabila melekat dengan baik pada dinding.

4. Pilih Cat Berkualiti

Terdapat pelbagai jenama dan rangkaian cat yang dijual di kedai hardware. Penting untuk anda pilih yang berkualiti dan bersesuaian dengan permukaan dinding supaya ia tahan lama, cantik dan kemas.

 

 

 

5. Pilih Warna Anda Suka

Berdasarkan kajian, wujud kaitan antara pemilihan warna dan ruang tertentu yang memberi kesan kepada diri seseorang, iaitu dapat menaikkan mood dan membangkitkan energy, selain mencerminkan keperibadiaan si penghuni.

 

Contohnya, warna merah membantu meningkatkan tahap adrenaline, menjadikan seseorang itu lebih bersemangat. Jika kena gaya pencahayaan, warna merah sesuai di ruangan peribadi sekaligus menimbulkan suasana romantis dan sensual.

 

Warna sejuk seperti biru banyak digunakan untuk ruangan bilik kerana sifatnya mendamaikan dan membantu seseorang untuk tidur lebih lena, sekaligus mengurangkan tekanan darah dan memperlahankan denyut jantung dan pernafasan. Warna ini juga sesuai bagi ruangan kerja atau pejabat.

 

Mungkin ramai mengelak warna kuning dan oren untuk kediaman. Namun tahukah anda cat kuning dan oren jika kena dengan pencahayaan sesuai dijadikan tema di bilik tidur kerana dapat menjadikan seseorang itu lebih aktif dan ceria. Warna sebegini juga mentransformasikan ruang sempit tampak lebih luas.

 

Untuk yang mahukan ketenangan, cat bewarna hijau sesuai digunakan di semua jenis ruangan. Selain mencipta ketenangan di dapur, warna ini juga jika diaplikasikan di ruang tamu dapat membangkitkan suasana hangat untuk mengeratkan hubungan. Hijau juga sesuai untuk ruang bilik tidur bagi membantu mengurangkan stress.

 

Warna-warna selamat dan neutral seperti putih, beige, coklat dan kelabu bersifat fleksibel dan mudah dipadankan dengan apa sahaja warna yang lain. Ia juga sesuai digayakan untuk mana-mana ruang kediaman.

 

6. Gunakan Roller Dengan Betul

Ramai orang tidak tahu bagaimana menggunakan roller dengan betul yang akhirnya menyebabkan cat menjadi tidak sekata. Untuk mendapatkan hasil yang cantik dan kemas, roller harus ditekan sedikit pada dinding.

 

7. Simpan Cat Dengan Elok

Jika masih ada cat yang tidak digunakan, seeloknya tidak dibazirkan dan dibuang terus, Sebaliknya simpan dengan elok agar boleh digunakan di masa akan datang. Tutup tin cat dengan ketat supaya ia tidak kering dan keras.

 

Kalau boleh jangan simpan cat terlalu lama. Untuk menggunakannya semula, kacau cat selama 5 hingga 10 minit dengan cara atas ke bawah dan ke kanan ke kiri supaya ia sebati. Jika masih likat boleh tambahkan air sedikit demi sedikit atau gunakan bahan pelarut

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *